Rabu, 27 Julai 2011

World Record, Budak Lelaki dengan 34 Jari

NEW DELHI - Seorang budak lelaki berusia setahun di India memecahkan rekod dunia kerana dilahirkan dengan 34 jari tangan dan kaki, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang jurucakap Guinness Book of Records berkata, Akshat Saxena memiliki tujuh jari pada setiap tangannya manakala setiap kakinya mempunyai 10 jari kaki.

Kanak-kanak berkenaan berasal dari wilayah Uttar Pradesh, utara India.

Akshat yang dilahirkan tanpa mempunyai ibu jari menyebabkan doktor kini cuba untuk menggunakan jari yang sudah dipotong bagi menggantikan ibu jari tersebut. 

"Saya amat gembira melihat anak saya buat pertama kali kerana dia merupakan cahaya mata pertama kami," kata ibunya, Amrita Saxenakata.

"Saya kemudian terkejut melihat jari-jarinya yang banyak," tambah wanita itu.
Didorong oleh seorang rakan mereka, keluarga berkenaan mendaftarkan anak mereka ke dalam Guinness Book of Records menerusi Internet.

Rekod untuk kategori tersebut sebelum ini dipegang oleh seorang budak lelaki di China berusia enam tahun yang memiliki 15 jari tangan dan 16 jari kaki. 

Kanak-kanak China itu yang namanya enggan didedahkan keluarganya turut menjalani pembedahan untuk membuang baki jarinya.

Dia kini mempunyai 10 jari tangan dan 10 jari kaki selepas menjalani pembedahan selama enam setengah jam di sebuah hospital di Shenyang, Liaoning pada Mac lalu. 

Satu kajian terbaharu menunjukkan lebihan jari tangan dan kaki itu merupakan sindrom yang dikenali sebagai polydactyly yang jarang berlaku ke atas bayi. - Agensi


Ahad, 3 Julai 2011

21 pelajar disengat tebuan ketika larian 1Murid

gambar hiasan:D
KOTA BHARU: Seramai 21 murid dan pelajar dari dua sekolah di Bachok dimasukkan ke hospital selepas mereka disengat tebuan ketika menyertai Larian 1Murid 1Sukan 1Malaysia pagi semalam. 

Pegawai Perhubungan Awam Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Zaid Ahmad, berkata pelajar terbabit adalah daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Badak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badak.

Katanya, mereka diserang sejenis tebuan tanah dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu."Lapan pelajar perempuan adalah daripada SMK Badak dan bakinya daripada SK Badak yang dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut. Tiada yang cedera serius," katanya di Wad 5 HRPZII di sini. 

Zaid berkata, mereka yang terbabit adalah murid Tahun Empat dan Tahun Lima serta pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima. 

Katanya, semua pelajar itu akan dibenar pulang secara berperingkat petang ini. 

Sementara itu, murid Tahun Empat SK Badak, Mohd Farid Firdaus, berkata beliau menerima tujuh sengatan tebuan tanah itu ketika berlari beramai-ramai di satu kawasan semak di satu laluan berdekatan sekolah. 
Beliau berkata, mereka kemudian dihantar ke Hospital Bachok sebelum dihantar ke HRPZII di sini. 

Rakannya, Nur Syafiqah Azmi, 10, berkata beliau hampir pengsan dan menjerit kesakitan ketika serangan tebuan itu berlaku. 

"Saya kena tiga sengatan di badan dan cikgu hantar ke hospital," katanya. 

Pelajar SMK Badak, Aishah Mansor, 13, berkata ketika larian dia tiba-tiba melihat tebuan itu menyengat rakan-rakannya dan beliau. 

"Semua pelajar menjerit dan kami semua kembali ke sekolah sebelum dihantar ke hospital," katanya yang terkena empat sengatan tebuan. - BERNAMA

Jumaat, 1 Julai 2011

Anak panah terbenam di muka

Tavernier terbaring di katil hospital sementara menunggu masa dibedah
HERTFORDSHIRE (Britain): Seorang remaja bernasib baik kerana terselamat walaupun mukanya tertusuk anak panah sepanjang lebih 20 sentimeter, semalam.

Sebelum itu, Lewis Tavernier membawa busur panah ke rumah kawannya di Stevenage dan memasang penahan sebelum meletakkan alat itu dengan berhati-hati di atas meja berhampiran.

Bagaimanapun, ketika Tavernier, 17, leka berbual dengan rakannya, secara tiba-tiba anak panah itu meluncur ke arah remaja terbabit.

Berada di kedudukan kurang dari satu meter, anak panah itu terus menusuk ke muka dan terbenam hampir lapan sentimeter pada pipinya.

Imbasan x-ray menunjukkan tulang pipi Tavernier retak tetapi anak panah itu tidak merosakkan sebarang saraf serta salur darah penting yang ada kira-kira dua milimeter darinya.

Pelajar Sekolah Marriots itu berkata, dia sering menggunakan alat berkenaan sebelum ini dan tidak pernah lupa memasang alat keselamatan sebelum meletakkannya di mana-mana.

“Disebabkan itu, saya tidak berfikir banyak apabila meletakkan panah itu di atas meja,” katanya.

Bagaimanapun, Tavernier mengakui insiden itu aneh kerana tiada sesiapa berada di situ kecuali dia dan temannya.

Kata Tavernier, rakannya melihat busur panah berkenaan tiba-tiba melepaskan anak panah ke arahnya.

“Kejadian berlaku amat pantas dan saya tidak perasan ia menusuk ke muka.

“Saya cuma ingat ada bertanya kepada rakan: “Ada anak panah di muka saya?” katanya.

Tavernier dikejarkan ke hospital oleh bapa rakannya dan ketika itulah baru dia berasa sakit.

Dia kemudian menjalani pembedahan segera di Hospital Lister bagi mengeluarkan anak panah berkenaan. -